HAK MUSLIM: Talaq Bukan Hak Mutlak Suami

Isteri berhak tuntut cerai jika hubungan tidak boleh diperbaiki

 

Matlamat perkahwinan ialah untuk hidup dalam kasih sayang dan rahmat (mawaddah wa rahmah) yang berterusan antara pasangan suami isteri. Tetapi, kadang-kala rumah tangga tidak dihiasi dengan kasih sayang dan tidak mendapat rahmat Allah SWT kerana satu pihak atau kedua-duanya tidak mengikut adab serta hukum hakam dalam perkahwinan atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang dituntut syarak.

Kerenggangan dan kegagalan pasangan itu sedikit demi sedikit akan melebar hingga tidak dapat diperbaiki sekali gus, menghancurkan keharmonian rumah tangga. Sebagai jalan penyelesaian, Islam memberikan jalan keluar iaitu talak atau perceraian.

Talak asalnya adalah milik suami seperti firman Allah SWT bermaksud: “Atau pihak yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin sepenuhnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Pihak yang memegang ikatan nikah dalam ayat ini ialah suami. Walau bagaimanapun, talak bukan hak mutlak suami. Isteri boleh mendapatkan hak untuk bercerai dalam keadaan tertentu, antaranya:

  • Jika dia dimudaratkan oleh suaminya.
  • Jika suami cuai dan tidak memenuhi sebahagian daripada hak isteri. Pada masa sama, isteri tidak reda dengan perkara itu. Bahkan hubungan antara keduanya tidak dapat diperbaiki lagi, maka hakim boleh menceraikan mereka apabila dituntut isteri.Mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ada 19 alasan membolehkan isteri memfailkan tuntutan cerai fasakh terhadap suami.Isteri juga boleh bercerai dengan suami dengan cara khulu’ (tebus talak). Khulu’ ialah talak yang berlaku dengan keinginan isteri, iaitu isteri menebus dirinya supaya dibebaskan suami dengan mengembalikan mas kahwin atau jumlah tertentu yang dipersetujui suami.Prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah pula berdasarkan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah yang menjadi panduan kepada hakim dalam melaksanakan penghakiman mereka.Jika puan mendakwa di mahkamah, beban untuk membuktikan dakwaan terletak atas bahu puan sebagai pihak yang menuntut atau pihak mengemukakan dakwaan.

    Puan perlu mengemukakan bukti relevan dengan dakwaan kepada mahkamah. Bukti boleh dikemukakan, sama ada dengan keterangan dokumen seperti laporan polis, atau mengemukakan saksi yang memberi keterangan menyokong dakwaan itu.

    Jika puan mendakwa suami menganiayai, menyakiti atau menjadikan kehidupan puan menderita sepanjang perkahwinan, maka bukti perlu dikemukakan kepada mahkamah.

    Dokumen seperti laporan polis atau laporan doktor mengesahkan ada penderaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah.

    Jika penderaan berbentuk mental seperti dibuli atau dikeji dengan kata kesat berterusan, puan perlu mengemukakan laporan doktor mengesahkan dakwaan itu.

    Berbalik kepada dakwaan puan dipukul, jika ada saksi yang melihat kejadian, saksi itu juga boleh dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah. Kebiasaannya, banyak kes pukul tidak dibuat di hadapan orang lain. Oleh itu, sukar untuk mendapatkan saksi mata.

    Tetapi jika ada saksi yang melihat kesan akibat pukulan seperti kesan lebam, bengkak dan berdarah, saksi itu boleh diminta hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan. Kesan itu akan menjadi qarinah kepada kejadian pukul berkenaan.

    Begitu juga jika puan mendakwa suami berkawan dengan perempuan jahat atau suami berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak, maka bukti perlu dibentangkan kepada mahkamah.

    Bukti itu mungkin dalam bentuk gambar, filem, surat atau keterangan saksi yang melihat suami puan berkelakuan sumbang. Dakwaan berdasarkan perasaan atau firasat semata-mata tidak boleh diterima.

    Hakim tidak boleh memutuskan sesuatu tuntutan berdasarkan aduan atau dakwaan semata, tetapi berdasarkan bukti keterangan yang dizahirkan kepada hakim.

    Jika Islam membenarkan sesuatu tuntutan diputuskan berdasarkan dakwaan saja, maka manusia akan menuntut apa saja, termasuk nyawa orang lain.

    Rasulullah SAW menegaskan dalam satu hadis bermaksud: “Jika manusia dibenarkan setiap dakwaannya tanpa bukti, maka sudah tentu manusia akan mendakwa darah dan harta orang lain, tetapi keterangan di atas yang mendakwa dan sumpah di atas yang didakwa.”

    Berkaitan dakwaan puan bahawa suami tidak memberikan nafkah, mahkamah akan berpandukan kepada satu kaedah fiqah iaitu ‘Asal sesuatu itu tidak ada.’

    Ia bermaksud, asal kepada kedudukan nafkah tidak diberi oleh suami, jadi pihak suami yang perlu mengemukakan bukti dan saksi bahawa dia memberikan nafkah kepada isteri, atau suami perlu mengemukakan sebab yang diharuskan syarak kenapa nafkah tidak diberikan kepada isteri. Jika suami tidak dapat membuktikannya, maka puan akan diminta bersumpah nafi, yakni sumpah syarak bagi menafikan puan ada menerima nafkah daripada suami.

    Mengenai dakwaan puan sudah banyak kali turun naik mahkamah, saya berpendapat puan sebenarnya merujuk kepada Jabatan Agama, bukan mahkamah.

    Turun naik jabatan agama untuk kaunseling tidak bermakna puan sudah dianggap membuka fail di mahkamah.

    Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah adalah dua tempat dan institusi berbeza. Kadang-kadang kesalahan melihat institusi menyebabkan orang ramai mengutuk mahkamah sedangkan kesnya belum difailkan di mahkamah.

    Jika puan enggan dikaunseling, maka hak membuat keputusan adalah puan, bukan pegawai Jabatan Agama.

    Jabatan hanya membantu untuk menyelamatkan hubungan rumah tangga sekiranya masih boleh diselamatkan. Bahkan merujuk kepada Arahan Amalan, puan boleh terus ke mahkamah memohon perceraian fasakh walaupun tanpa laporan daripada Jabatan Agama.

    Proses di mahkamah mempunyai prosedur dan tatacara yang ditetapkan undang-undang. Selalunya orang awam sukar memahaminya kerana banyak membabitkan perkara teknikal.

    Saya menyarankan puan merujuk kepada pihak yang pakar atau kepada peguam syarie untuk membantu memahami dengan lebih terperinci.

    Sesuatu kes boleh dipercepatkan jika menggunakan khidmat peguam syarie yang tahu selok-belok tatacara dan prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah.

    Berkenaan hubungan puan dengan lelaki lain sebagai jalan membalas dendam kepada suami ketika masih menjadi isteri adalah bukan tindakan dibenarkan agama. Puan tidak seharusnya lari daripada kerosakan dengan menjerumuskan diri dalam kerosakan lain.

    Ia adalah perkara dosa yang puan perlu tamatkan segera. Saya menasihatkan puan menyelesaikan masalah dengan keimanan kuat kepada Allah dan sehingga puan sudah bercerai serta tidak terikat sebagai isteri, barulah boleh menjalinkan hubungan dengan lelaki lain untuk berkahwin kali kedua.

    FAKTA
    Alasan tuntut cerai

  • Jika suami cuai atau tidak menyediakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh lebih tiga bulan.
  • Suami menganiayai isteri dengan menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
  • Suami berkawan dengan perempuan jahat.
  • Suami hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak.Disediakan oleh Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar dan soalan boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com

    Responses

    1. Assalamualaikum. Saya ada dua soalan di sini. Pertama, mengapa talaq itu dibenci oleh Allah walaupun ia halal? Kedua, mengapa suami sahaja yang memegang talaq?? Tolong balas dengan secepat mungkin. Sekian, terima kasih.

    2. waalaikum slm, maaf kalau saya sibuk.

      Talaq membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq dan seumpamanya. Rumah tangga yang tidak dihiasi dengan kasih sayang dan tidak mendapat rahmat Allah, sedikit demi sedikit bermasalah yang semakin melebar sehingga tidak dapat diperbaiki lagi. Suami atau isteri atau keduanya tidak melaksanakan tanggungjawab yang dituntut oleh syarak sehingga tidak sanggup untuk hidup bersama dan berbahagia.

      Ianya bukan sahaja memutuskan silaturrahim antara suami dan isteri, bahkan mahu juga diantara keluarga suami dan keluarga isteri. Dan memutuskan silaturrahim merupakan satu dosa yang besar. Jadi untuk mengelakkan perbalahan yang lebih besar daripada berlaku jika suami dan isteri terus dilanda krisis rumah tangga maka Allah memberikan jalan keluar iaitu dengan talaq.

    3. Bagi jawapan kedua: –

      Perempuan telalu didorong oleh nafsu tetapi lelaki berdasarkan akal. Dari segi ratio lelaki ada 9 akal & satu nafsu dan perempuan ada 1 akal & 9 nafsu. Maksdunya disini Perempuan terlalu emosi kalau berhadapan dengan perkara-perkara yang menyentuh hati, sebab itu kalau perempuan pegang talaq, ia boleh sewenang wenangnya jatuhkan talaq ikut nafsu tanpa berfikir panjang. Sebab perempuan insan yang istimewa, lemah lembut mudah tersentuh hati.

      Tapi kalau lelaki memikir berdasarkan fakta dan perkara yang berlaku di luarannya, lelaki kalau tersentuh hati pun tidak akan mencampurkan hal emosi dengan realiti sebab itu tidak semua lelaki mudah tersentuh hatinya kerana menurut fakta, lelaki ego.


    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: