Sama ada keterangan diterima atau tidak selepas yamin/sumpah defenden berikan?

Sama ada keterangan diterima atau tidak selepas yamin/sumpah defenden berikan?

 Oleh: Noorul Badariah Abd Majid

            Sumpah dari segi bahasa ialah kanan atau pihak kanan. Ianya juga diertikan dengan sumpah kerana semasa bersumpah orang akan menggunakan tangan kanan. Dari segi istilahnya pula suatu perkataan yang disertakan dengan nama Allah, ianya digunakan untuk menyatakan kesungguhan terhadap suatu perkara yang tidak akan sabit tanpa bersumpah.[1]

 

            Secara jelasnya, ianya dinyatakan juga di dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Selangor (2003) di dalam seksyen 87 (1) (3)

            “Cara Memberikan Keterangan

(1)                           Dalam kes Mal keterangan hendaklah diberikan oleh Plantif dan Defendan dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut hukum syarak”.

(3)                                 Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.

 

Ini bermakna jika seseorang daripada pihak-pihak samaada Defendan ataupun Plantif ataupun pihak-pihak lain seperti saksi yang menjalani sesuatu perbicaraan di mahkamah, samaada mensabitkan  hak atau menafikan tuntutan yang datang dari pihak yang satu lagi.

 

Jika seseorang yang didakwa bersumpah selepas diminta oleh hakim (selepas pihak yang mendakwa gagal membawa keterangan) maka terlepaslah tanggungannya dan bebas daripada dakwaan yang dihadapkan kepadanya. Dengan ini dakwaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa itu tertolak. Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dalam hal ini.[2]

 

Bagaimanapun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama jika keterangan diberi selepas proses sumpah dilakukan. Soalnya samaada boleh diterima keterangan orang yang mendakwa setelah pihak yang kena dakwa melakukan sumpah. Dalam masalah ini terdapat tiga pendapat.

 

Pendapat pertama mengatakan keterangan selepas sumpah adalah diterima kerana sumpah adalah hujah yang lemah dan ia tidak memutuskan pertikaian tambahan lagi keterangan adalah asal dan sumpah adalah gantian. Oleh itu jika telah ada yang asal maka tamatlah hukum gantian. Saidina Umar bin Khatab telah menerima pendapat ini. Beliau pernah berkata, Sumpah “fajirah” lebih utama untuk ditolak daripada keterangan yang adil.

Inilah juga pendapat segolongan hakim Salaf. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Tawuoes, Ibrahim, dan Syuraih bahawa mereka berkata, “keterangan yang adil adalah lebih berhak (untuk diterima) daripada sumpah “fajirah”. Pendapat ini telah diterima oleh Imam Abu Hanifah, Syafie dan Ahmad.

            Walaupun bagaimanapun masalah seperti ini jarang berlaku. Jika pun berlaku, adalah kerana dua sebab;

a)                           menurut fatwa yang terpilih dalam mazhab Hanafi berdasarkan pendapat Imam Abu Hanifah, tidak harus dijalankan proses sumpah ke atas yang didakwa melainkan jika orang yang mendakwa lemah atau gagal memberikan keterangan.

b)                          Majallah Ahkam (dalam fasal 1753) telah menegaskan bahawa, jika yang mendakwa berkata, “saya tidak mempunyai saksi melainkan sama sekali”.kemudian ia akan mengemukakan saksi-saksinya.

Atau ia berkata, “saya tidak mempunyai saksi melainkan si polan”.

Kemudian berkata, “saya mempunyai seorang lagi saksi yang lain,” perkataan itu tidak boleh diterima.[3]

            Pendapat kedua pula di ambil daripada Imam Maliki yang berpendapat bahawa pihak yang mendakwa di benarkan mengemukakan keterangan bagi menguat dan mengukuhkan dakwaannya itu setelah proses sumpah berlaku. Syaratnya ia jahil tentang keterangan baginya sebelum proses sumpah dijalankan. Jika ia mengetahui bahawa ia mempunyai keterangan dan ia tetap memilih supaya yang didakwa bersumpah, selepas sumpah itu dilakukan barulah ia mengemukakan keterangannya. Keterangan itu tidak boleh diterima kerana telah jatuh atau luput. Ini juga adalah pendapat sebahagian ulama’ Syafie seperti Al- Ghazali.

 

            Pendapat ketiga berdasarkan mazhab Dzahiri, Ibnu Abi Laila, Abu Ubaid dan lain lain. Bagi mereka sumpah penentu dan pemutus bagi pertikaian. Yang demikian tidak harus didengar keterangan selepas sumpah, kerana sumpah telah membatalkan hak yang mendakwa dan tidak diterima keterangan yang telah luput. Sebagaimana diperkukuhkan oleh kebenaran pihak yang mendakwa dengan keterangan sehingga tidak diambil kira sumpah orang yang didakwa selepas itu, demikianlah juga kebenaran bagi pihak yang didakwa jika ia telah bersumpah. Maka tidak dilayan keterangan yang mendakwa selepas sumpah.[4]

 

            Dari sudut pengaplikasiannya di mahkamah syariah di Malaysia permintaan bersumpah boleh dilayan selepas plaintif mengemukakan keterangan kepada mahkamah dan keterangan yang dikemukakan itu meyakinkan mahkamah. Setelah plaintif membuat permohonan sumpah dari defenden dan permintaan itu disahut atau defenden membuat permintaan balas supaya sumpah dikembalikan kepada plaintif dan plaintif bersumpah, mahkamah setelah membuat keputusan mendapati ada pihak yang ingin mengubah pendirian dan mahu membuat sumpah setelah ditolak, tidak boleh melayani permintaan seperti itu. Pun begitu ada ketikanya walaupun sumpah telahpun dilafaz sama ada oleh defenden atau plaintif dan mahkamah telah membuat keputusan, pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan melalui sumpah dan menemui keterangan yang sangat penting yang sepatutnya dikemukakan dalam perbicaraan akan tetapi keterangan itu tidak dapat dikemukakan dengan alasan yang kuat dan mahkamah telah membuat keputusan melalui sumpah masih boleh memohon mahkamah membicarakan kes itu semula dan membuat keputusan baru.[5]

 

            Secara tuntasnya, Penyelesaian melalui sumpah adalah seiring dengan kaedah syara’ terutama dalam keadaan kemungkinan adanya tohmah. Kaedah sumpah sebagai satu method keterangan dan pembuktian telah diaplikasikan sejak zaman para anbiya’. Sebagai contoh Amirul Mukminin Ali pernah memakai cara bersumpah serta dua orang saksi. Persoalan yang dibincangkan disini ialah apakah keterangan selepas sumpah defendan boleh dan diterima. Kesimpulan yang dapat dihuraikan disini ialah selepas hakim menerima sumpah defendan, sebarang keterangan tambahan tidak akan diterima, malah ditolak oleh mahkamah. Ini adalah kerana sumpah defendan tersebut akan mengikat keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah.




[1] Mahmud Saedon A. Othman. 1990. Undang-Undang Keterangan Islam. Selangor: Dawama Sdn. Bhd. p.103.

[2] Ibid 120-121

[3] ibid.121-122.

[4] Ibid 122

[5] YAA Dato’ Dr. Abdullah bin Abu Bakar. Sumpah Dalam Perundangan Moden. 1 & 11-12.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: